Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyediakan sebanyak 43,842 ekor lembu dan kerbau tempatan serta import untuk ibadah korban sempena sambutan Aidiladha akan datang.

Manakala, sebanyak 33,173 ekor kambing dan bebiri tempatan serta import disediakan sehingga Mei lalu bagi menampung permintaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, selepas mengambil kira keperluan, permintaan terhadap lembu dan kerbau dianggarkan sebanyak 39,172 ekor manakala kambing atau bebiri pula 21,949 ekor.

"Berdasarkan anggaran bekalan ternakan, adalah dijangka mencukupi untuk menampung permintaan sembelihan korban pada tahun ini iaitu sebanyak 39,172 ekor lembu atau kerbau dan 21,949 ekor kambing serta bebiri.

"Sebanyak 27 rumah sembelih di seluruh semenanjung sedia untuk beroperasi dan 10 daripadanya sudah memenuhi syarat 'Export Supply Chain Assurance System' (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan dari Australia.

"Di samping itu, JPV juga sudah mengeluarkan lesen kepada 35 rumah sembelih swasta di seluruh semenanjung untuk perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban," katanya.

Che Abdullah (dua dari kanan) sedang mendengar penerangan daripada kakitangan Kompleks Abatoir mengenai operasi ternakan selepas disembelih. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Che Abdullah (dua dari kanan) sedang mendengar penerangan daripada kakitangan Kompleks Abatoir mengenai operasi ternakan selepas disembelih. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Che Abdullah berkata demikian dalam sidang media selepas hadir meninjau perkembangan operasi penyembelihan haiwan ternakan itu di di Kompleks Abatoir, di sini, hari ini.

Berkenaan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang menyerang ternakan lembu, Che Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 44 kes dicatatkan di seluruh negara dengan 19 daripadanya positif iaitu berlaku di residen manakala lima lagi kes dikesan di pusat kuarantin iaitu dua daripadanya di Pasir Mas, Kelantan.

"Apabila berlaku jangkitan di peringkat awal baru-baru ini, kita segera membuat kawalan ketat seterusnya menyekat import dari luar terutama dari Thailand dan usaha ini menampakkan hasil.

"Kami juga akan mempertimbangkan untuk memberi sagu hati kepada penternak yang kerugian akibat penyakit itu.

"Kami berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jualan lembu dan pada masa sama jangan ada yang mengambil peluang untuk melupuskan lembu pada harga yang murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 8:31 PM