ANTARA ternakan Maizun Maazan dan Mohd Razi Hassan yang sedia untuk dijual menjelang Hari Raya Aidiladha. FOTO Bernama.
ANTARA ternakan Maizun Maazan dan Mohd Razi Hassan yang sedia untuk dijual menjelang Hari Raya Aidiladha. FOTO Bernama.
BERNAMA

Georgetown: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengeluarkan 1,732 permit sembelihan luar membabitkan 5,756 ekor ternakan bagi ibadah korban tahun ini.

Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata jumlah pada tahun ini meningkat berbanding 714 permit sembelihan luar membabitkan 3,002 ekor ternakan yang dikeluarkan pada tahun 2023.

"Peningkatan itu disebabkan kesedaran pemain industri, dan kempen yang dijalankan oleh pihak JPV Pulau Pinang berhubung keperluan permohonan permit.

"Bekalan ternakan ibadah korban di Pulau Pinang juga dijangka mencukupi dengan kira-kira 6,000 ekor ternakan ruminan tersedia dan 80 peratus daripadanya adalah ternakan lembu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebiasaannya semua penyembelihan perlu dilaksanakan di dalam rumah penyembelihan diluluskan dan rumah penyembelihan dilesenkan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993.

Bagaimanapun oleh kerana terdapat permintaan dan peningkatan jumlah penyembelihan pada Hari Raya Aidiladha, dengan merujuk kepada Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009, Saira Banu berkata penyembelihan bagi tujuan korban boleh dilaksanakan di luar rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan.

Bagaimanapun tempat yang dipilih perlulah bersesuaian, tidak menyebabkan pencemaran di samping tidak mengakibatkan kacau ganggu kepada orang awam, dan penyembelihan luar ini hanya dibenarkan selama empat hari iaitu pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik bermula pada 17 Jun (Isnin) sehingga 20 Jun (Khamis).

Beliau berkata 39 pihak berkuasa veterinar dan 15 pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan ternakan di lokasi sembelihan bagi memastikan ternakan bebas dari sebarang penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 12:05 PM