UMAT Islam disaran tidak guna orang tengah untuk membeli lembu.
UMAT Islam disaran tidak guna orang tengah untuk membeli lembu.

Berdasarkan stastistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kini terdapat stok 39,000 lembu dan 40,000 kambing yang boleh digunakan untuk ibadah korban tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, statistik itu berdasarkan bekalan lembu dan kambing yang diimport selain ternakan tempatan di seluruh negara.

Beliau berkata, anggaran keperluan bagi tujuan penyembelihan korban tahun ini kira-kira 30,000 lembu dan 24,000 kambing.

“Berdasarkan kepada stastistik dan anggaran ini, kita yakin bekalan untuk tujuan korban tahun ini mencukupi.

“Lembu berkenaan diimport dari Australia dan Thailand oleh syarikat pembekal sah.

“Sumber ternakan lembu hidup tempatan pula dari projek Integrasi dan Fidlot di seluruh negara. Sebanyak 26 rumah sembelih JPV di seluruh Malaysia sedia beroperasi untuk tujuan korban,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, pada tahun ini, JPV juga mengeluarkan lesen kepada 50 rumah sembelih ruminan swasta di seluruh negara bagi penyembelihan korban.

“Di samping itu, penyembelihan di luar rumah sembelih seperti masjid, surau, taman perumahan dan tempat awam diberi kebenaran melalui permohonan permit penyembelihan luar.

“Permit itu boleh didapati di rumah sembelih JPV termasuk negeri dan daerah. Dokumen perlu ada bagi ternakan untuk tujuan penyembelihan korban ialah Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV),” katanya.

Katanya, JPV juga menerbitkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban untuk dijadikan panduan dengan mengambil kira aspek kebajikan haiwan, keselamatan makanan serta undang-undang dan peraturan mengenai pemantauan penyembelihan korban,” katanya.

Menurutnya, ia termasuk premis penyembelihan, operasi penyembelihan dan pengurusan sisa ternakan untuk mengelak risiko jangkitan penyakit zoonotik.

“Garis panduan ini bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan mengutamakan kebersihan dan keselamatan dalam setiap aktiviti penyembelihan tak kira di mana ia dilakukan.

Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali mengesahkan bekalan ternakan untuk tujuan korban mencukupi.

Katanya, lembu untuk tujuan korban itu dijual menggunakan sukatan harga RM11 hingga RM11.50 sekilogram untuk haiwan hidup.

“JPV Terengganu cuma menguatkuasakan undang-undang dari sudut dokumentasi bagi ternakan yang dibawa masuk dari negeri lain seperti Kelantan, Pahang dan Thailand ke negeri ini.

“Kami akan pastikan hanya lembu ada permit serta melalui prosedur ditetapkan dibenarkan dibawa masuk bagi tujuan korban. Ia sebagai langkah membendung penyakit haiwan termasuk penyakit kuku dan mulut,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam yang mahu membeli lembu dengan harga berpatutan perlu beli terus dari ladang, bukan melalui orang tengah yang menaikkan harga untuk memperoleh keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:46 AM