FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menganggarkan jumlah permintaan lembu dan kerbau untuk dikorbankan pada Aidiladha ini adalah 38,265 ekor.

Menurutnya, berdasarkan statistik JPV, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan bagi penyembelihan pada hari raya itu sehingga Mei 2022 adalah 34,044 ekor.

"Manakala bekalan lembu dan kerbau yang diimport sehingga Mei 2022 adalah 852 ekor.

"Jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah 34,896 ekor.

"Selepas mengambil kira keperluan masjid, surau serta rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk korban adalah 38,265 ekor.

"Kekurangan 3,300 ekor bagi menampung keperluan bagi tujuan korban pada tahun ini dijangka diperoleh melalui import," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan haiwan berkenaan di dalam negara ialah peningkatan kos pengeluaran global dan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan pengimport mengurangkan jumlah ternakan yang diimport bagi tujuan korban.

Selain itu, katanya, peningkatan kos makanan ternakan tempatan turut menyebabkan pengeluaran ternakan terjejas.

"Faktor lain adalah wabak penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang melanda Myanmar dan Thailand pada pertengahan 2021 menyebabkan Malaysia terpaksa menutup sempadan khusus untuk sekatan masuk haiwan berkenaan.

"Bagaimanapun sempadan sudah dibuka semula dan sekatan juga sudah ditarik balik pada Mac 2022 apabila kes itu dapat ditangani di negara berkenaan.

"Kebenaran kemasukan semula diberi dengan penambahbaikan syarat dan keperluan membawa masuk ternakan dari negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, JPV berkata, mengikut Perangkaan Ternakan 2020/2021, populasi ternakan lembu dan kerbau negara adalah 763,674 ekor dan saban tahun terdapat sedikit peningkatan populasi berbanding tahun sebelumnya.

Namun, katanya, terdapat pengurangan yang signifikan bagi ternakan lembu dan kerbau yang diimport bagi tujuan sembelihan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ini kerana ia dipengaruhi sekatan kebenaran membawa ternakan dari Thailand susulan penularan LSD.

Menurutnya, satu perbincangan teknikal khas antara Malaysia dan Thailand diadakan pada 24 Jun lalu bertujuan memudah cara prosedur teknikal pengimportan lembu hidup dari Thailand untuk tujuan penyembelihan korban.

"Persetujuan bersama dicapai dengan menambah baik prosedur teknikal pengimportan lembu hidup dari Thailand untuk memenuhi keperluan bekalan penyembelihan korban di Malaysia.

"Ia sebagai penyediaan pilihan dalam perakuan bebas penyakit sumber import bagi memudah cara pengimportan lembu hidup dari negara itu untuk memenuhi keperluan bekalan penyembelihan ibadat korban di Malaysia.

"Ini termasuk tempoh kuarantin di Malaysia disingkatkan kepada tiga hari untuk tujuan korban," katanya.

Pada masa sama, katanya, selain Thailand, antara negara pengeksport lembu hidup ke Malaysia ialah Australia, New Zealand dan Brazil.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan susulan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan, kenaikan harga bekalan makanan selain memperincikan inisiatif jangka pendek, sederhana serta panjang merentasi semua sub-sektor agromakanan.

"Antara cadangan intervensi bagi memastikan ternakan lembu dan kerbau mencukupi menjelang sambutan Aidiladha adalah memberi kebenaran masuk lembu dari Thailand bagi tujuan sembelihan.

"Selain itu, cadangan lain ialah mengurangkan tempoh masa kuarantin kepada tiga hari dan ternakan perlu diiringi ke rumah sembelih untuk memastikan tiada risiko rebakan penyakit.

"Cadangan lain ialah menambah jumlah pusat kuarantin swasta di sempadan supaya lebih banyak ternakan boleh ditempatkan di situ," katanya.

Menurutnya, cadangan lain ialah memastikan jumlah kakitangan mencukupi bagi memantau kemasukan ternakan serta memastikan rumah sembelih swasta dan kerajaan bersedia untuk menyediakan perkhidmatan semasa ibadah korban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 12:52 PM