BENDERA Umno berkibar di perkarangan Menara Dato Onn ketika Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
BENDERA Umno berkibar di perkarangan Menara Dato Onn ketika Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tiada istilah 'gila kuasa' atas desakan untuk Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Wakil Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bahkan desakan dibuat Umno ini juga bukan bermakna Umno akan menang sebaliknya mandat dikembalikan semula kepada rakyat.

Katanya, sukar untuk membuat dasar dan keputusan sekiranya kerajaan yang ada kini tidak stabil.

Menurutnya, contoh boleh dilihat di Melaka dalam pentadbiran terdahulu apabila ada Exco yang 'besar kepala' dan tidak hadir mesyuarat penting.

"Mereka rasa jika tidak disebabkan sokongan, kerajaan Melaka sebelum ini tidak boleh dibentuk.

"Akhirnya, 'katak' ini melompat sehingga terjadinya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu.

"Alhamdulillah, mandat besar diberikan rakyat Melaka kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) seterusnya pentadbiran kerajaan negeri kembali stabil," katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno, di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Melaka berkata, Pergerakan Pemuda Umno memberikan kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti dan Perdana Menteri berbincang sebaik mungkin mencari tempoh sesuai bagi mandat dikembalikan kepada rakyat memilih.

Katanya, dengan kebaikan, rakyat akan senang kepada Umno dan pasti menjadi pilihan utama mereka.

"Umno mesti jadi pilihan utama dan tiada cara lain untuk menjayakan selain daripada kerja keras kita semua.

"Walaupun diasak pelbagai sudut, Umno tetap akan teguh menjadi wadah perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 12:06 PM