ASYRAF Wajdi pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno. FOTO Aizuddin Saad
ASYRAF Wajdi pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno. FOTO Aizuddin Saad
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Keperluan mendapat kerajaan yang teguh bersama mandat baru terus dilaungkan pada Perhimpunan Agung Umno.

Ia menjadi intipati ucapan dasar Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada persidangan sayap itu hari ini.

Katanya, mandat yang diperkotak-katikkan menjadikan negara yang sebelum ini pesat membangun, kini perlahan-lahan ditinggalkan negara jiran.

"Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada malam 9 Mei 2018, kita menghormati suara rakyat. Malahan peralihan kuasa kali pertama dalam sejarah negara, ternyata berjalan dengan tertib dan selamat.

"Meskipun perit dengan kekalahan, asuhan Umno mengajar pemimpinnya bahawa mandat rakyat mesti dihormati. Didikan Umno mengajar ahlinya bahawa suara rakyat mesti sentiasa diangkat.

"Malangnya apabila rakyat memilih Pakatan Harapan (PH), mandat yang diberikan mulai dipermain dan mulai diperkotak-katikkan. Harapan setinggi gunung yang diletakkan pada PH untuk mentadbir lebih baik, lebih berintegriti, lebih cekap, lebih beramanah kononnya.

"Namun, rupanya indah khabar daripada rupa. Sebaliknya, politik dendam membunuh pesaing, melondeh aib serta membenam peribadi pula menjadi acuan utama PH dalam mengurus kuasa, mentadbir negara," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia hari ini.

Hadir sama, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Asyraf Wajdi berkata, sebuah negara demokrasi memerlukan rakyat sebagai kata penentu keabsahan sesebuah kerajaan.

"Maka kita tiada pilihan melainkan memulangkan kembali mandat kepada rakyat bagi mereka membuat pilihan. Tiada lagi sebarang alasan untuk kita menafikan hak rakyat menentukan kestabilan.

"Tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor, dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah dan penuh ketertiban. Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik," katanya.

Menurutnya, hanya dengan mandat baru maka sebuah kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan.

Beliau turut mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan Perhimpunan Agung Umno agar membuat pindaan perlembagaan parti seperti rakan komponen supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 11:43 AM