ASYRAF Wajdi Dusuki FOTO Aswadi Alias.
ASYRAF Wajdi Dusuki FOTO Aswadi Alias.
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dikhuatiri boleh menyebabkan perpecahan dalam Umno.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses itu juga hanya akan melemahkan jentera untuk bergerak dan mendapatkan semula mandat rakyat.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan setiap kali selesai pemilihan parti, tempoh tertentu perlu diambil bagi 'fasa pemulihan'.

"Setiap kali pemilihan parti, dianggarkan 30 peratus kekuatan parti akan berkurang.

"Keadaan ini menjadikan kita tidak mampu mendapat kekuatan optimum dalam menghadapi PRU-15 dan mendapat mandat rakyat.

"Jadi Pergerakan Pemuda sepakat untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selesai PRU-15," katanya ketika ditemui Perhimpunan Agung Umno 2021 (Pau 2021) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, desakan agar PRU-15 diadakan dalam masa terdekat bukan bermakna Umno 'gila kuasa'.

Katanya, PRU-15 perlu diadakan agar mandat dapat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang layak mentadbir negara.

"Kerajaan yang ada kini bukan dibentuk daripada mandat rakyat dan ia perlu dikembalikan semula untuk rakyat buat pilihan.

"Kerajaan yang dibentuk tanpa mandat rakyat tidak stabil dan keputusan membubarkan Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 5:33 PM