SAARANI. FOTO Arkib NSTP
SAARANI. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Taiping: Umno Perak tidak akan berkompromi dan menyerahkan lima kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu untuk ditandingi parti lain pada PRU15.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini kerana semua kerusi terbabit diperuntukkan kepada Umno, namun wakil rakyatnya bertindak meninggalkan parti itu selepas PRU14 dan menyertai parti lain.

"Umno Perak tegas dalam soal ini," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut di sini, hari ini.

Lima kerusi berkenaan ialah tiga kawasan Parlimen iaitu Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tualang Sekah dan Sungai Manik.

Sementara itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak mahu Umno negeri sentiasa berada dalam mod pilihan raya.

Ini kerana katanya gerakan mengasak keabsahan kerajaan Perikatan Nasional akan berterusan dan satu-satunya cara untuk memastikan kestabilan ialah menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih.

"Mahu tidak mahu, kita perlu bersedia. Meskipun pandemik Covid-19 tidak memungkinkan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, namun kita tidak boleh membiarkan diri kita terperangkap dalam ketidaktentuan ini. Umno di setiap peringkat perlu sentiasa diletakkan dalam mod pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 8:51 PM