Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kemenangan di beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi petunjuk tepat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan di PRN Melaka, Sarawak dan Johor boleh dijadikan sandaran keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin kukuh.

Menurutnya, kekalahan dan kelemahan parti lawan dalam PRN perlu dimanfaatkan dalam segala peluang dan ruang.

"PRN di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya sekarang dan bukan tahun depan.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor.

"DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak manakala di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 dari 14 kerusi," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Umno, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Ketua Pergerakan Puteri Umno dan barisan kepimpinan sayap Umno.

MOHAMAD melambai tangan kepada perwakilan di PAU 2021 di Dewan Merdeka WTCKL, hari ini. GAMBAR EIZAIRI SHAMSUDIN
MOHAMAD melambai tangan kepada perwakilan di PAU 2021 di Dewan Merdeka WTCKL, hari ini. GAMBAR EIZAIRI SHAMSUDIN

Mohamad berkata, melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang selain kesepakatan pembangkang kini sangat bercelaru.

Katanya, ketidaksepakatan pembangkang adalah strategik kepada Umno untuk kembali mendapat kepercayaan dan mandat untuk kembali mentadbir negara.

"Ini masanya kita pantas memintas saat mereka berpecah dan bertelagah dan pelbagai pilihan raya diadakan ketika pandemik berlangsung dengan berjaya dan teratur.

"Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU-15, malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik kerana dilaksanakan dengan disiplin dan tertib seperti di Melaka, Sarawak dan Johor," katanya.

Beliau berkata, prestasi Umno dan BN sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

Menurutnya, krisis Ukraine dan Rusia selain tergugatnya Perintah Keselamatan Eropah, kemungkinan ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan rantaian bekalan global menjadikan prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan.

"Harga barang semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal dan kemarahan rakyat membuak-buak.

"Semua ini akan menjadi peluru politik Pakatan Harapan (PH) untuk menembak kerajaan dan Umno akan menerima tempiasnya.

"BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan sah dan mengambil kira semua ini, Umno harus mengambil pendirian tentang kewajaran menyegerakan PRU-15," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 10:26 PM