Jalan Teladas Air Putih di jambatan lama Teladas yang dinaiki air sehingga 0.76 meter. FOTO IHSAN APM TERENGGANU
Jalan Teladas Air Putih di jambatan lama Teladas yang dinaiki air sehingga 0.76 meter. FOTO IHSAN APM TERENGGANU
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua jalan di Kemaman ditutup kepada semua jenis kenderaan selepas dinaiki air hampir satu meter (m) hari ini.

Ia membabitkan Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas) yang dinaiki air sehingga 0.7 m dan Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong (Kampung Pelatoh) yang ditenggelami air sedalam 0.8 m.

Selain itu, tiga lagi jalan di daerah sama ditutup kepada kenderaan ringan selepas dinaiki air antara 0.4 hingga 0.6 m.

Tiga laluan berkenaan adalah Jalan Lubuk Lesong (simpang tiga Lubuk Lesong-Pelantoh), Jalan Paman-Ibok (Paya 100) dan Jalan Air Putih (Kampung Seberang Tayor).

Sementara itu, hanya satu sungai di Terengganu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman yang berada pada paras 4.12 m melepasi paras normal 1.4 m.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, empat lagi sungai melepasi amaran iaitu masing-masing dua di Dungun dan Kemaman.

Di Dungun, ia membabitkan Sungai Dungun di Kuala Jengai dengan bacaan 20.14 m (14 m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau dengan bacaan 11.62 m (5 m).

Dua lagi sungai yang kini melepasi paras amaran adalah Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik di Kemaman masing-masing berada pada paras 18.42 m dan 2.12 m.

Sementara itu, empat lagi sungai iaitu dua di Kemaman serta masing-masing satu di Dungun dan Setiu pula melepasi paras waspada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:26 PM