GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jalan Tepus-Kuala Jengai (UiTM Bukit Besi) di Dungun ditutup kepada semua kenderaan susulan keadaan jalan yang mendap.

Bagaimanapun, pengguna boleh menggunakan Jalan Baru Besol Lama-Rantau Panjang sebagai laluan alternatif.

Manakala dua jalan di daerah Kemaman yang ditutup kepada semua jenis kenderaan dibuka semula selepas banjir mulai surut.

Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas) yang dinaiki air sehingga 0.7 meter (m) pagi tadi sudah boleh dilalui, manakala Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh) hanya dibuka untuk kenderaan berat.

Ia susulan laluan berkenaan masih dinaiki air setinggi 0.75 m.

Selain itu, Jalan Lubuk Lesong (simpang tiga Lubuk Lesong-Pelantoh) yang masih dinaiki air sehingga 0.5 m ditutup kepada semua kenderaan ringan.

Sementara itu, hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 4.51 m berbanding paras normal 1.4 m.

Dua lagi sungai direkodkan melepasi paras waspada membabitkan daerah Setiu dan Kemaman.

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Bukit berada pada paras 11.03 m manakala Sungai Cherul di Jambatan Ban Ho, Kemaman direkodkan pada paras 17.23 m.

Ketika ini, paras air di kebanyakan sungai menunjukkan trend penurunan susulan keadaan cuaca yang semakin baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 7:09 PM