Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hujan berterusan sejak Khamis menyebabkan paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini meningkat.

Setakat jam 10 pagi tadi, 10 sungai kini melepasi paras bahaya.

Ia membabitkan tiga di Hulu Terengganu, dua di Besut, dua di Kemaman , dua di Setiu dan satu Dungun.

Selain itu, tujuh sungai melepasi paras amaran manakala satu sungai lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai yang melepasi paras bahaya di Hulu Terengganu adalah Empangan Tembat yang mencatatkan bacaan 432.26meter (m) melepasi paras normal 426 m.

Dua lagi sungai yang melepasi paras bahaya di Hulu Terengganu adalah Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kuala Ping masing-masing dengan bacaan 24.95m dan 20.42m.

Di Besut, Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La masing-masing merekodkan bacaan 35.32m (28.50) dan 22.31m (16.50).

Sungai Tebak di Jambatan Tebak yang berada pada paras 18.76 dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman dengan bacaan 4.77 m turut melepasi paras bahaya.

Dua lagi sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dengan bacaan 21.54 m dan Sungai Dungun di Kuala Jengai yang berada pada paras 21.95m.

Tujuh sungai yang melepasi paras amaran ketika ini adalah tiga di Setiu, dua di Kemaman serta masing-masing satu di Dungun dan Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 11:05 AM