GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penduduk di negeri ini diminta tidak panik dengan limpahan Empangan Muda sejak Khamis lalu berikutan ia masih terkawal dan tidak menyebabkan berlakunya banjir di kawasan penduduk berdekatan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, limpahan secara automatik itu adalah prosedur biasa susulan kapasiti empangan melebihi 100 peratus.

"Limpahan yang berlaku masih terkawal dan dialirkan melalui Sungai Muda. Hari ini paras air di Empangan Muda dicatatkan pada paras 331.05 kaki (101 meter) iaitu 4.2 peratus melebihi kapasiti 100 peratus.

"Limpahan yang berlaku pula adalah sebanyak 973 kaki padu sesaat (27.55 meter padu sesaat) berdasarkan rekod yang diambil pada 8 pagi hari ini," katanya ketika ditemui selepas lawatan ke Kilang Padi Seri Merbok di Simpang Empat di sini, hari ini.

Ahmad Tarmizi turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak tepat dengan mengaitkan situasi banjir di beberapa daerah di negeri ini adalah disebabkan limpahan air empangan.

Katanya, untuk rekod, kedudukan takungan Empangan Pedu pada hari ini adalah sebanyak 91.68 peratus, Empangan Muda, 104.20 peratus dan Empangan Ahning, 95.71 peratus.

"Sekiranya berlaku limpahan, kami akan maklumkan kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran serta pejabat daerah terbabit.

"Ini supaya agensi berkenaan dapat mengeluarkan arahan berjaga-jaga kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 4:50 PM