TENGKU Amir Shah (tengah) berkenan beramah mesra bersama pengunjung ketika hadir melawat pasar malam sempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor bagi daerah Petaling di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
TENGKU Amir Shah (tengah) berkenan beramah mesra bersama pengunjung ketika hadir melawat pasar malam sempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor bagi daerah Petaling di Seksyen 7 Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat melawat pasar malam Seksyen 7 di sini hari ini.

Keberangkatan baginda bersempena dengan Jelajah Gagasan Rumpun Selangor bagi daerah Petaling yang bermula hari ini diiringi Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi.

Dalam lawatan kira-kira sejam itu baginda berkenan meninjau ke gerai-gerai jualan serta menyerahkan sumbangan apron dan topi kepada peniaga sambil beramah mesra dengan pengunjung.

Lebih istimewa 500 pengunjung terawal berpeluang mendapatkan kupon digital Rahmah PLATS (Platform Selangor) bernilai RM10 setiap seorang yang disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI dengan nilai keseluruhan RM5,000.

Seorang pelajar Rahman Ahmad, 22, ketika ditemui berkata kupon berkenaan membantunya untuk menjimatkan perbelanjaan pada hari ini.

"Saya pun agak kerap berkunjung ke sini untuk beli makanan...bagi saya membantu (pemberian kupon) sebab sebagai pelajar kita memang nak kena berjimat," kata pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal itu.

Seorang lagi pelajar Muhammad Zahir Anwar Abdullah, 21, pula berkata walaupun nilai kupon berkenaan tidak seberapa namun sebagai seorang pelajar ia memberikan sedikit kelegaan kepada poketnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:18 PM