PENDAKWAH dari Singapura, Rasul Dahri.
PENDAKWAH dari Singapura, Rasul Dahri.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah dari Singapura, Rasul Dahri yang dilaporkan meninggal dunia malam ini.

Anwar dalam hantaran melalui Facebook berkata Allahyarham merupakan antara alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (YAA) iaitu sebuah yayasan yang digerakkan pemimpin belia dan mahasiswa pada sekitar 70-an yang diketuai Anwar ketika itu.

"Takziah kepada keluarga pendakwah Ustaz Rasul Dahri yang dikhabarkan telah meninggal dunia. Beliau juga adalah antara alumni di Yayasan Anda suatu ketika dulu.

"Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya dan rohnya ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," kata Perdana Menteri.

Terdahulu, berita pemergian pendakwah itu dimaklumkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di Facebook dan difahamkan Rasul meninggal disebabkan keuzuran.

"Menerima khabar kematian Ustaz Rasul Dahri … sebagai saudara Muslim, saya mendoakan keampunan untuk beliau … kali terakhir saya berjumpa beliau ketika saya di Johor tiga minggu lepas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:19 AM