Video berdurasi 33 saat mengenai pelepasan air tular sejak semalam didakwa berlaku di Empangan Pedu, Padang Terap mengakibatkan limpahan air luar biasa ekoran hujan lebat.
Video berdurasi 33 saat mengenai pelepasan air tular sejak semalam didakwa berlaku di Empangan Pedu, Padang Terap mengakibatkan limpahan air luar biasa ekoran hujan lebat.
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Pelepasan air di Empangan Muda yang dilakukan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah pada kadar selamat, terkawal dan dengan pemantauan pegawai teknikal di empangan terbabit.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, penduduk sekitar tidak perlu panik dengan pelepasan air empangan itu kerana prosedur normal selepas berlaku limpahan akibat hujan beberapa hari

"Setiap masa pasukan teknikal MADA bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan pertambahan air, (dan) setakat hari ini keadaan beransur baik dan kita harap cuaca akan cerah dalam masa beberapa hari.

"Sebelum pelepasan air dilakukan, kita akan memaklumkan kepada Jabatan Penerangan dan penghulu setiap mukim supaya dapat dimaklumkan kepada penduduk kampung untuk bersiap sedia," katanya yang mengulas video tular mengenai pelepasan air didakwa berlaku di Empangan Pedu, Padang Terap yang mengakibatkan limpahan air luar biasa ekoran hujan lebat.

Terdahulu, Ahmad Tarmizi ditemui selepas Program Simulasi Menghadapi Banjir Dalam Norma Baharu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Tasik Beris di sini, hari ini.

Dalam pada itu, MADA dalam kenyataan mengesahkan kejadian limpahan air empangan, namun menegaskan ia prosedur biasa dan dilakukan sejak 14 November lalu.

Jelas kenyataan itu, limpahan melalui alur limpah Empangan Muda adalah kejadian lazim dengan air mengalir melalui Sungai Muda.

"MADA memantau dan memaklumkan status kedudukan limpahan air Empangan Muda dari semasa ke semasa kepada pihak Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memantau keadaan paras air di lembangan Sungai Muda.

"Berdasarkan rekod, sejak 1970, limpahan melalui alur limpah Empangan Muda berlaku sebanyak 26 kali dan terakhir adalah pada awal Januari hingga Februari 2018," kata kenyataan itu.

Limpahan air empangan juga bertujuan membenarkan air lebihan dari kolam takungan yang tidak dapat ditampung, mengalir melalui alur limpah secara berterusan.

MADA sentiasa membuat pemantauan dan akan memaklumkan kepada agensi yang berkepentingan sekiranya limpahan itu mencapai paras bahaya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan-Empangan MADA.

"Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk kepada pemakluman agensi kerajaan dan tidak mempercayai sebaran berita palsu," kata kenyataan itu.

Turut dijelaskan tindakan awal sejak semalam untuk menyalur lebihan air melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada melalui sistem pengairan Lana Bulu, Alor Changileh, Sistem Tengah dan Selatan serta melalui sistem saliran dengan pembukaan 'pelubang barrage' di Kampong Kepala Batu dan Ampang Jajar di Alor Setar.

Untuk rekod, kadar takungan di Empangan Ahning adalah 74.5 peratus; Empangan Pedu (86.4 peratus) dan Empangan Muda (111 peratus), namun tiada pelepasan air dari Empangan Ahning dan Pedu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 4:14 PM