GJASULA (kiri) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
GJASULA (kiri) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Reuters

Hamburg: Pasukan kerdil, Albania mengikat Croatia seri 2-2 dalam pertemuan mendebarkan Euro 2024 sebentar tadi yang menyebabkan kedua-dua pasukan perlu mengharapkan aksi terakhir kumpulan untuk mara ke peringkat kalah mati.

Klaus Gjasula menyamakan kedudukan pada masa kecederaan dengan rembatan rendah, menebus kesilapan gol sendiri sebelum ini yang dilihat hampir pasti memberi kemenangan kepada Croatia.

Menduduki 56 tempat lebih rendah daripada Croatia dan dibantu sokongan peminat berpakaian merah di Volksparkstadion Hamburg, Albania mendahului pada minit ke-11 hasil tandukan cemerlang Qazim Laci.

Albania mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan sebelum berdepan gelombang serangan Croatia pada separuh masa kedua yang diketuai oleh kapten, Luka Modric.

Andrej Kramaric menyamakan kedudukan pada minit ke-74 dengan rembatan rendah sebelum Gjasula memasukkan bola ke gawang sendiri untuk gol kedua Croatia dua minit kemudian.

Kedua-dua pasukan mengumpul satu mata selepas dua perlawanan dalam Kumpulan B, dengan Croatia seterusnya menentang Itali, manakala Albania berdepan Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:24 PM