DR Sirhajwan Idek dipilih sebagai salah seorang pemenang dalam Anugerah ‘20 to  Watch’ anjuran ISTE. FOTO Ihsan Dr Sirhajwan Idek
DR Sirhajwan Idek dipilih sebagai salah seorang pemenang dalam Anugerah ‘20 to Watch’ anjuran ISTE. FOTO Ihsan Dr Sirhajwan Idek
Redzuan Muharam


Keningau: Inisiatif guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr Sirhajwan Idek dalam merintis program pendidikan maya melayakkannya dipilih sebagai salah seorang pemenang dalam Anugerah '20 to Watch' anjuran Persatuan Antarabangsa untuk Teknologi dalam Pendidikan (ISTE) iaitu sebuah persatuan pendidikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Kemenangan itu melayakkan Sirhajwan, 37, menerima plak anugerah, keahlian premium persatuan selama setahun, jemputan ke persidangan anjuran persatuan dan peluang untuk menyumbang terhadap pendidikan berasaskan teknologi melalui penulisan artikel dan sesi perkongsian.

Pengiktirafan itu diberi bagi menghargai sumbangan Sirhajwan dalam memperluaskan kaedah pembelajaran secara maya kepada golongan pelajar dan pendidik.

Menerusi program dikenali 'Virtual, Remote, Live' atau singkatannya VRL, Sirhajwan berjaya menghubungkan lebih 2,000 pelajar dan guru di negara ini dengan golongan pendidik serta ahli akademik dari negara lain.

Ia membantu mereka mempelajari pelbagai topik, kemahiran asas dan mengetengahkan hasil kerja mereka yang mana bahasa Inggeris digunakan sebagai medium (bahasa) pengantara.

Berkongsi perasaannya, Sirhajwan yang sudah 12 tahun bergelar pendidik gembira dengan kemenangan itu dan menyifatkan ia antara pencapaian tertingginya selepas menyertai pelbagai pertandingan sejak 2015.

"Pertandingan itu terbuka kepada golongan pendidik pelbagai latar belakang daripada seluruh dunia dengan peserta dikehendaki menghantar penyertaan projek berasaskan teknologi.

"Saya hantar penyertaan dengan mengisi borang di laman web dan sertakan bersama dokumen sokongan.

"Sejak 2020 iaitu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya memang ada buat program pembelajaran maya mengandungi beberapa aktiviti termasuk pembentangan projek pelajar di persidangan dalam talian antarabangsa dan sesi sembang santai bersama pelajar dan lepasan universiti.

"Saya buat setiap bulan secara konsisten sehingga kini dengan turut membabitkan pelajar dari sekolah di Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Filipina.

"Jadi saya rasa gembira apabila ia dapat pengiktirafan menerusi kemenangan dalam anugerah itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Sirhajwan, ramai pelajar daripada program dibangunkannya yang dapat mengaplikasikan apa yang diperoleh daripada sesi dalam talian dan memperkembangkan impak projek masing-masing.

Justeru, kemenangan diraih itu tentunya akan menjadi pembakar semangat untuknya terus memperkasakan penggunaan digital dan teknologi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

"Usaha saya tidak akan terhenti di sini sebaliknya akan diteruskan kerana guru di negara ini pun memang digalakkan tahu aspek digital dan menggunakan teknologi dalam pendidikan.

"Ia selaras dengan misi Kementerian Pendidikan (KPM) yang menekankan digital dalam merangka kurikulum untuk 2027 kelak," katanya yang juga Ketua Kajian dan Inovasi KV Keningau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 11:08 PM