FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Paras air di tiga empangan di negeri ini masih berada pada tahap baik dan tidak berisiko berlakunya banjir.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Kamarudin Dahuli berkata, setakat hari ini Empangan Pedu mencatatkan paras 95.10 peratus, Empangam Ahning 97.83 peratus manakala Empangan Muda 103.60 peratus.

"Di Empangan Muda berlaku sedikit limpahan air iaitu sebanyak 760Q namun ia dalam keadaan terkawal. Limpahan air itu akan melalui Sungai Muda serta tidak memberi kesan sampingan kepada peningkatan paras sungai-sungai utama dan keselamatan struktur empangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata pelepasan bekalan air sokongan daripada empangan Pedu dan empangan Ahning adalah sebanyak 1400Q hari ini bagi membantu permulaan aktiviti tanaman padi musim satu 2022.

"Berdasarkan laporan Ramalan Cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin yang menjangkakan akan berlaku hujan berterusan (waspada) di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

"Pihak Mada akan menjalankan operasi saliran air lebihan sekiranya berlaku hujan yang lebat melalui struktur-struktur utama sedia ada yang membabitkan Sistem Arau, Sistem Lana Bulu, Sistem Alor Changileh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar," katanya.

Kamarudin berkata sehingga jam 8 pagi tadi kebanyakan Stesen Aras Air Telemetri Mada berada pada paras normal kecuali satu stesen mencatatkan paras waspada iaitu di Stesen 130 Sungai Mati Kampung Changhai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 4:41 PM