SEBAHAGIAN pintu air Sungai Jarak/Sungai Tok Keramat yang pecah akibat limpahan air Sungai Kulim. FOTO Zulfa Mohamad
SEBAHAGIAN pintu air Sungai Jarak/Sungai Tok Keramat yang pecah akibat limpahan air Sungai Kulim. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad


LIMPAHAN air dari Sungai Kulim, Kedah menyebabkan sebahagian pintu air di Sungai Jarak/ Sungai Tok Keramat, Tasek Gelugor pecah, kelmarin.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Seberang Perai Utara (SPU), Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi berkata, pintu air di Padang Chempedak bukan empangan seperti ditularkan dan ia pecah akibat limpahan air yang banyak dari Sungai Kulim.

Katanya, hanya satu pintu air berkenaan yang pecah di pekan ini manakala satu lagi gambar yang ditular dilaporkan berlaku di Seberang Perai Tengah dan bukannya di Tasek Gelugor.

"Ketika ini paras air di Sungai Jarak makin menurun berbanding kelmarin.

"Selain itu, penularan kononnya paras air Sungai Muda mencapai tahap bahaya juga tidak benar," katanya.

Limpahan air Sungai Jarak/Sungai Tok Keramat turut menyebabkan beberapa kampung dinaiki air seperti Padang Chempedak, Lahar Yooi dan Sungai Dua.

Kedua-dua sungai berkenaan bertembung dengan Sungai Krek menyebabkan ia melimpah dan memasuki Lahar Yooi dan Lubuk Meriam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 1:22 PM