GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Parkir percuma di semua daerah yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan menjadi tarikan rakyat untuk mengundi calon yang dikemukakan oleh gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Parti Amanah Negara (Amanah Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, tawaran parkir percuma itu akan bermula pada 13 Ogos ini atau sehari selepas mengundi.

"Tawaran ini mendapat sambutan dan tindak balas yang positif dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Parkir percuma bukan sahaja di Kota Bharu, malah akan dilaksanakan kepada semua daerah di Kelantan," katanya pada sidang media di Pejabat Amanah di sini, semalam.

Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Datuk Ismail Ghani dan calon PH DUN Tawang Che Mat Isa.

Selain itu, Wan Abd Rahim berkata, tawaran potongan cukai premium tanah dan pecah sempadan sehingga 50 peratus juga menjadi tarikan kepada masyarakat di negeri itu.

"Perkara ini dibincangkan oleh pimpinan BN dan PH Kelantan dan kita setuju untuk kaji serta menurunkan kadar bayaran sehingga 50 peratus.

"Sekiranya rakyat memohon tanah kerajaan, kalau dulu kena bayar permohonan saja, namun sekarang kita perlu bayar penuh sebanyak RM3,000 untuk keluasan 0.4 hektar dan kalau mohon 1.2 hektar kita kena bayar RM9,000," katanya.

Terdahulu, media melaporkan 34 tawaran dikemukakan BN-PH di bawah empat teras sebagai manifesto kepada rakyat Kelantan pada PRN nanti.

Sementara itu, Ismail berkata, bandar Kubang Kerian sepatutnya menjadi sebuah bandar terancang yang mempunyai semua kemudahan moden berikutan ia berada berdekatan Kota Bharu.

"Limpahan pembangunan di kawasan itu akan turut dinikmati oleh penduduk Demit. Justeru, bandar Kubang Kerian perlu dinaik taraf sebagai bandar diraja yang terancang.

"Saya yang berada di Demit akan berjuang untuk membangunkan Kubang Kerian menerusi beberapa fasa kerana bandar ini perlu ada pelan strategik yang lebih teratur," katanya.

Beliau yang juga bekas Pegawai Tadbir berkata, isu kebersihan di Kubang Kerian dan masalah parkir yang tidak cukup di kawasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) turut menjadi fokusnya sepanjang kempen untuk PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 2:23 PM