Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan menjelaskan lebih lanjut mengenai isu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, esok.

Ayob Khan ketika dihubungi meminta isu berkenaan dikemukakan dalam sidang media yang dijangka jam 11.30 pagi esok di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

"Esok tanya saya ketika sidang media jam 11.30 pagi, " katanya.

Terdahulu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dilaporkan masih menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang yang diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya memerlukan senarai itu daripada Polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

Sebelum ini, media melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan suspek utama Nicky Liow, melarikan diri.

Nicky Liow, 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Polis mengesyaki sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan Geng Nicky.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 4:27 PM