ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu kereta yang terbabas ke dalam parit di Jalan P 4/2 Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu kereta yang terbabas ke dalam parit di Jalan P 4/2 Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan P 4/2 Bandar Teknologi Kajang, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 10.51 pagi tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Honda Stream.

"Difahamkan kereta dipandu lelaki berusia 44 tahun itu terbabas sebelum masuk ke dalam parit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 12:59 PM