Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky yang diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, tidak akan didedahkan.

Penegasan itu dibuat Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mahu mengambil tindakan terhadap pegawai serta anggota itu di bawah jenayah terancang.

Malah, Ayob Khan tidak menolak kemungkinan terdapat ramai lagi pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan Geng Nicky.

Menurut beliau, jangkaan itu berdasarkan hasil siasatan forensik dan barang rampasan yang dibuat.

"Tunggulah, sebab itu saya kata benda ini berkembang, benda ini bukan statik kerana hasil daripada soal-siasat, ia akan berkembang.

"Tunggu dan lihat, yang pasti akan lebih ramai (terbabit dengan Geng Nicky), bukan setakat 34 (pegawai dan anggota polis) sahaja.

"Saya juga tidak akan mendedahkan senarai nama berkenaan. Kita akan ambil tindakan di bawah jenayah terancang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ayob Khan berkata, di Johor, polis sudah membuktikan kejayaan tindakan di bawah jenayah terancang.

"Di Johor, kita sudah buktikan, kita sudah tangkap 24 pegawai dan anggota penguat kuasa menerusi Op Benteng dan sudah dituduh di bawah jenayah terancang.

AYOB Khan ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Inilah format yang akan saya gunakan dalam kes membabitkan Geng Nicky.

"Keutamaan tindakan tatatertib adalah paling akhir sekali. Saya tidak akan serah (senarai nama) pada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk ambil tindakan.

"Kita masih kemas kini kertas siasatan, Insya-Allah bila sudah lengkap nanti, kita akan buat tangkapan," katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, tindakan di bawah jenayah terancang adalah paling tepat, mudah dan pantas membabitkan kes kumpulan jenayah terancang seperti Geng Nicky.

"Namun saya perlu pastikan ada cukup bukti, bagi saya masa sedikit.

"Senarai nama memang tidak akan dikeluarkan, saya akan terus tangkap. Tak guna saya keluarkan senarai dan kongsi pada semua, nak buat apa.

"Saya pasti, bila (siasatan) lengkap nanti, tangkapan akan dibuat, tunggu dan lihat," katanya.

Terdahulu, JIPS Bukit Aman memaklumkan masih menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis yang didakwa bersekongkol dengan Geng Nicky.

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata, pihaknya memerlukan senarai nama itu daripada polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:43 PM