TERTUDUH ketika hadir di Kompleks Mahkamah Alor Setar . FOTO Wan Nabil Nasir
TERTUDUH ketika hadir di Kompleks Mahkamah Alor Setar . FOTO Wan Nabil Nasir
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar kanabis seberat lebih 100 kilogram (kg), bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh ke atas Dzulkifli Che Othman, 47, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis atau ganja seberat 100.2kg di sebuah inap desa di Taman Aman, dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada jam 4.30 petang pada 25 Jun lalu.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia dengan tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadapnya.

Media sebelum ini melaporkan, polis merampas lebih 100kg ganja berikutan serbuan di sebuah inap desa yang disewa lelaki itu di Taman Aman, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:07 PM