AYOB Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Johor sedang meneliti beberapa akaun bank dimiliki kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky termasuk milik peribadi dan syarikat yang dimiliki bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang menunggu laporan dari Bank Negara Malaysia (BNM) serta bank lain bagi melengkapkan siasatan berhubung kegiatan Geng Nicky.

"Polis kini sedang memperkemaskan kertas siasatan dan akan memanggil beberapa individu lagi untuk diambil keterangan.

"Akan ada 'statement' dan laporan Bank Negara, kita sedang tunggu kerana kes ini banyak membabitkan akaun peribadi, syarikat. Ia akan makan masa sedikit.

"Setakat hari ini, belum ada tangkapan baharu dan perkembangan terkini mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Siasatan Jenayah Johor, Datuk Md Yusof Ahmad dan Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.

Pada 9 Mei lalu, Polis Johor mendedahkan mendapat beberapa petunjuk baharu berkaitan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini.

Ayob Khan dilaporkan berkata, bagaimanapun beliau tidak akan mendedahkan petunjuk itu atau sebarang kenyataan lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Awal bulan lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan polis ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky dibebaskan dengan jaminan polis.

Manakala pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, adalah pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Ditanya mengenai pemantauan atau tindakan ke atas jenayah terancang di Johor ketika Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), Ayob Khan berkata, pemantauan akan terus dilakukan.

"Kita tidak akan berhenti sebaliknya akan terus berjaga-jaga. Itu adalah tugas dan tanggungjawab polis.

"Baik penyeludupan rokok ke atau apa pun, pemantauan akan berterusan. Kita tidak akan berhenti walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 3:52 PM