NICKY Liow dikehendaki untuk siasatan di bawah seksyen 130 V - 130 ZB Kanun Keseksaan. FOTO Arkib NSTP
NICKY Liow dikehendaki untuk siasatan di bawah seksyen 130 V - 130 ZB Kanun Keseksaan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis Johor menafikan berita tular mendakwa ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang sedang dijejaki pihak berkuasa sudah ditahan.

Ketua Polis, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berita penahanan ahli perniagaan berusia 33 tahun itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

"Polis Johor mengesahkan berita penahanan suspek adalah palsu. Polis masih meneruskan usaha untuk mengesan suspek dengan kadar segera dan membawanya ke muka pengadilan.

"Polis ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan atau menyebar sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak kelmarin, tular di media sosial berita kononnya Nicky Liow sudah ditahan polis.

Ahad lalu, media melaporkan polis sedang mengesan Nicky Liow, seorang ahli perniagaan yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Ayob Khan dilaporkan berkata, Nicky Liow dikesan dengan alamat terakhirnya ialah di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor.

Pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Sindiket berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian besar terbabit banyak penipuan dan suspek adalah seorang yang berpengaruh serta mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguat kuasa.

Dua kertas siasatan berkaitan individu itu sudah dibuka di negeri ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, Nicky Liow dilaporkan pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 1:57 PM