JOHARI melawat reruai pameran teknologi sawit di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad.
JOHARI melawat reruai pameran teknologi sawit di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad.
Noor Hidayah Tanzizi

Bangi: Enam teknologi baharu yang diperkenalkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB) terus memacu perkembangan teknologi inovatif industri kelapa sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program berkenaan dianjurkan setiap tahun untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam sektor sawit yang dibangunkan penyelidik MPOB.

Menurutnya, enam teknologi dan satu perkhidmatan baharu diperkenalkan bagi pengkomersialan itu merangkumi kluster bioteknologi, mekanisasi dan automasi dan oleokimia.

"Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan dan mempercepat proses pengkomersialan penemuan R&D dibangunkan institusi penyelidikan awam.

"(Ia) sebagai langkah untuk mendorong pengkomersialan hasil inovasi R&D institusi penyelidikan awam, insentif cukai disediakan kepada syarikat pelabur dan syarikat yang mengkomersialkan hasil penemuan atau inovasi," katanya pada perasmian TOT MPOB 2024, di sini, hari ini.

Enam teknologi berkenaan ialah baka tanaman baharu Clonal Palm Series 4 (CPS), Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik Kawalan Radio serta empat inovasi produk oleokimia iaitu Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit dan Cecair Pencuci Gred-industri.

Selain itu, Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak serta Minyak Transformer Berasaskan Sawit.

Johari berkata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB banyak membantu peladang dan pekebun kecil untuk meningkatkan hasil melalui pengurusan ladang yang baik.

Katanya, teknologi dan inovasi dibangunkan MPOB sejajar perkembangan ekosistem industri sawit serta memperluaskan kegunaan produk berasaskan sawit di pasaran yang mana ia juga menawar peluang kepada usahawan bagi meneroka potensi perniagaan dalam sektor sawit.

"Melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), kerajaan melalui MPOB memberi fokus kepada usaha memperkasakan pekebun kecil sawit dan pembabitan usahawan termasuk sektor Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam industri sawit," katanya.

Pada majlis berkenaan Johari turut melancarkan dua produk iaitu Produk Racun Perosak Biologi Mesra Alam dan Formulasi Baja MPOB F2 dan F6.

Beliau juga menyaksikan MPOB memeterai lima perjanjian persefahaman teknologi, merangkumi pengkomersialan formulasi Baja MPOB, formulasi gris gred makanan berasaskan sawit, formulasi cecair bakteria endofitik kawalan Ganoderma, dan pemindahan teknologi kaedah penghasilan komposisi bod (papan) serat terarah.

Selain itu, Johari turut melancarkan 'MPOB TECH' sebagai cap dagangan berdaftar untuk memperkasa teknologi MPOB yang dikomersialkan dan ia adalah sebagai agensi penyelidikan dalam industri sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:34 PM