ZAMRI. FOTO BERNAMA
ZAMRI. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Senarai nama pegawai dan anggota polis yang didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' masih belum diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya memerlukan senarai itu daripada Polis Kontinjen Johor sebelum mengambil tindakan susulan, termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan terhadap penguat kuasa terbabit jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

"Setakat ini, tiada tindakan oleh JIPS kerana kami masih tidak tahu siapa anggota dan pegawai terbabit dengan kumpulan itu.

"Saya masih menunggu senarai nama individu itu, selain makluman siasatan dari polis (Kontinjen) Johor berhubung pembabitan mereka dengan 'Geng Nicky'.

"Kalau dari sudut jenayah kumpulan itu, polis Johor sedang giat menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan suspek utama Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee melarikan diri.

Nicky Liow, 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Polis mengesyaki sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan Geng Nicky.

Jumaat lalu, Nicky Liow dan seorang wanita dipercayai isterinya didakwa tanpa hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan wanita terbabit yang juga warga China, Niu Zhe.

Empat belas suspek kes Geng Nicky masing-masing sembilan lelaki dan lima wanita berusia antara 28 hingga 55 tahun didakwa di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 1:50 PM