RASHID Asari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
RASHID Asari pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari dialihkan daripada blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, hari ini.

Speaker Dun Selangor Lau Weng San berkata, untuk sementara waktu, tempat duduk Abdul Rashid ditempatkan antara blok pembangkang dan blok kerajaan dengan mengambil kira statusnya yang tidak mempunyai keanggotaan dalam mana-mana parti.

"Pada 21 Jun lalu, saya terima notis daripada Yang Berhormat Hulu Kelang berkenaan keahlian Selat Klang dalam Bersatu dihentikan bermula 7 Jun 2024.

"Menyusuli fakta yang Selat Klang bukan lagi ahli Bersatu maka pertukaran tempat duduk adalah wajar. Tempat duduk Selat Klang kini antara Perikatan Nasional dan Kerajaan Perpaduan mengambil kira kedudukan Selat Klang sebagai Adun yang tidak mempunyai keanggotaan dalam mana-mana parti.

"Ini (kedudukan kerusi) juga dilakukan dengan mengambil kira kekananan (seniority) beliau sebagai Adun penggal kedua dan juga kekananan beliau yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, di sini.

Weng San memutuskan demikian selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bangun bagi memohon 'petua' berkenaan perkara itu bagi memastikan keharmonian dan kelancaran persidangan.

Terdahulu, Azmin mempersoalkan tempat duduk Abdul Rashid didakwa masih di blok pembangkang sedangkan Adun Selat Klang bukan lagi ahli Bersatu kerana menyatakan sokongan kepada kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada pimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi Dun Selat Klang kepada Weng San berikutan keguguran keahlian Abdul Rashid sebagai ahli Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:33 PM