FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis Johor mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Nicky.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai siasatan itu kerana operasi masih sedang berjalan.

"Saya hanya boleh mengesahkan memang ada tangkapan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor dan seperti mana yang saya katakan, saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Sebab operasi masih berjalan, saya tidak mahu keluarkan 'statement' satu-satu. Hari ini tangkap satu, keluar satu.

"Lagipun, sebarang kenyataan, (Polis) Johor akan keluarkan kerana ia membabitkan lain-lain tangkapan susulan. Kalau kita keluarkan satu-satu, ia akan menjejaskan operasi yang sedang berjalan.

"Insya-Allah siap tangkapan kita, saya akan buat sidang media keseluruhan. Apa yang pasti, memang operasi masih berterusan dan akan ada tangkapan susulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, polis sudah mendapat kelulusan bagi menyenaraikan nama ahli perniagaan buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, dalam senarai individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol), semalam.

Katanya, notis merah Nicky Liow diluluskan bertarikh 20 April, manakala isterinya Niu Zhe warga China bertarikh 21 April (semalam).

Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP ditahan bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang diketuai ahli perniagaan buruan, Nicky Liow.

Menurut sumber, pegawai berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi, semalam, oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Difahamkan, suspek memegang jawatan sebagai ketua bahagian di sebuah jabatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur.

Pegawai kanan berkenaan yang melaporkan diri bertugas di IPD itu pada Januari lalu ditahan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 1:30 PM