PRASANT menunjukkan kad pengenalannya membuktikan dirinya lelaki dan warganegara Malaysia. FOTO C Prasant
PRASANT menunjukkan kad pengenalannya membuktikan dirinya lelaki dan warganegara Malaysia. FOTO C Prasant
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya lelaki dan bukan wanita walaupun suara saya sering dikatakan seperti orang perempuan tetapi suara ini bukan dibuat-buat sebaliknya ia memang suara asli saya," kata penuntut sebuah universiti swasta, C Prasant.

Ringkasan Berita

  • C Prasant, seorang penuntut universiti swasta berusia 24 tahun, menarik perhatian di TikTok kerana suaranya yang lembut seperti wanita
  • Prasant menegaskan suaranya adalah asli dan bukan dibuat-buat atau hasil penggunaan aplikasi
  • Dalam perbualan telefon, orang sering memanggilnya "kak", dan Prasant akan menjelaskan bahawa dia seorang lelaki
  • Prasant terasa hati dengan komen negatif netizen, namun memutuskan untuk menjadi diri sendiri
  • Pemuda berusia 24 tahun itu mendapat perhatian di TikTok kerana mempunyai keunikan tersendiri apabila suaranya yang lembut dikatakan seperti wanita, malah ramai menganggap dia menggunakan aplikasi alih suara.

    Prasant berkata, dia menganggap suaranya sebagai satu keunikan pada dirinya namun mengakui dia tetap lelaki sejati dan keluarga serta rakan rapat juga mengetahui 'kebenaran' di sebalik suaranya itu.

    Bagaimanapun katanya, ramai menganggap dia mahu mencari perhatian dan mendakwa dirinya bukan warganegara Malaysia, selain mahu terlalu mencuba menjadi seorang wanita serta menggunakan aplikasi alih suara ketika bersiaran di TikTok.

    "Saya tak kepit suara atau guna aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan ini memang suara asli sejak dahulu dan saya rasa suara ini biasa saja walaupun 'soft' (lembut).

    "Keluarga dan rakan juga mengakui perkara sama mungkin orang yang pertama kali dengar saja akan anggap suara saya seperti perempuan. Saya tetap lelaki dan mempunyai naluri seorang lelaki normal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pemuda asal Cheras, di sini, itu berkata, dia tidak pernah terfikir mahu menipu orang apabila bersiaran langsung di TikTok dan mengakui pada mulanya dia agak terasa hati apabila ada netizen meninggalkan komen negatif.

    "Tetapi saya fikir saya tidak menipu orang dan ini memang suara asli saya. Kalau saya tekan suara (bersuara garau) saya sendiri yang penat namun ramai juga beri komen positif dan menyokong seperti kata saya mempunyai suara yang baik.

    "Kalau di telefon orang akan panggil saya 'kak' dan saya akan terus beritahu saya lelaki. Saya mahu jadi diri sendiri dan tak kisah apa orang cakap asalkan keluarga saya tahu siapa saya sebenarnya," katanya.

    Sementara itu, berhubung dirinya yang turut mendapat perhatian kerana lancar bercakap dalam Bahasa Melayu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia bersekolah di Sekolah Kebangsaan di peringkat rendah dan menengah.

    Katanya, sebagai warganegara Malaysia, kemampuan menggunakan Bahasa Kebangsaan sangat penting dan mengakui rakannya juga ramai di kalangan orang Melayu membuatkan kemahiran bahasanya lebih baik.

    Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:51 PM