JOHAN pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.  -FOTO Faiz Anuar
JOHAN pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. -FOTO Faiz Anuar
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) menghargai setiap bentuk bantuan dan sokongan yang dihulurkan jutaan peminat bola sepak di seluruh negara berhubung hukuman dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap pasukan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon, hasil kutipan Tabung Solidariti SFC yang dilakukan tanpa pembabitan kelab itu membuktikan bahawa bola sepak adalah milik rakyat.

Katanya, 'kuasa' penyokong nyata melebihi segalanya bahkan menerusi bola sepak ia dapat menyatukan semua pihak tidak kira dari mana atau latar belakang dan asal kelahiran kerana rakyat juga bijak menafsir sesuatu perkara.

"Saya rasa kita di pihak SFC sangat berbesar hati dan terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua seluruh rakyat Malaysia. Pada hari MFL mengumumkan keputusan mereka, kita lihat di laman sosial di pelbagai platform di FB (Facebook), X dan Instagram ramai pihak menawarkan diri memberikan sumbangan.

"Alhamdulillah seruan rakyat ini diambil pihak Kerajaan Negeri Selangor, Datuk MB (Menteri Besar Selangor) dan juga YB Najwan (Najwan Halimi merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor) dan pihak MSN (Majlis Sukan Negeri) mengambil inisiatif untuk membuat tabung solidariti ini tanpa pembabitan SFC langsung.

"Jadi kita sangat berbesar hati dan sangat terharu dengan sokongan diberikan. Saya rasa apa yang kita lihat ini membuktikan bahawa bola sepak itu memang milik rakyat.

"Apa yang rakyat rasa tak betul, mereka akan menyuarakan pendapat mereka dan perasaan mereka dan mereka sentiasa mahu lakukan terbaik untuk memperbetulkan apa yang mungkin mereka rasa tak betul. Dan di akhirnya ini menunjukkan 'power' peminat melalui bola sepak," katanya.

Semalam, SFC menerima sumbangan berjumlah RM76,490.06 yang disampaikan Kerajaan Negeri Selangor hasil penubuhan Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang dilancarkan minggu lalu.

Sumbangan ini adalah hasil pemberian orang ramai khususnya peminat SFC dan penyokong bola sepak seluruh negara selepas MFL mengumumkan denda terhadap Red Giants yang disifatkan keterlaluan hanya disebabkan kegagalan hadir beraksi dalam aksi Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.

SFC terpaksa menarik diri menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim atas faktor keselamatan susulan kejadian malang menimpa bintang bola sepak negara, Faisal Halim yang disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali.

Untuk rekod, sehingga kini penjenayah itu masih belum diberkas dan pihak polis sedang menyiasat kes ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:05 PM