CHOPRA cipta sejarah olahraga India. -FOTO Instagram
CHOPRA cipta sejarah olahraga India. -FOTO Instagram
AFP

New Delhi: Neeraj Chopra pulang ke India sebagai wira selepas memenangi emas dalam acara merejam lembing di Olimpik Tokyo 2021 tetapi anak lelaki kepada seorang petani di India itu tidak pernah melupakan asal usulnya.

Pada usia 26 tahun, dia tekad mempertahankan gelarannya di Paris, selepas melakar sejarah di Tokyo tiga tahun lalu dengan memenangi emas pertama India dalam acara padang di Olimpik.

Di negara yang biasanya hanya menganggap pemain kriket sebagai wira, kanak-kanak lelaki dan perempuan di pedalaman India mula dilihat melemparkan kayu sebagai lembing selepas kejayaan Neeraj.

Neeraj kemudian menambah gelar juara dunia dalam persediaannya ke Olimpik dan dia juga meraih emas di Sukan Asia sebanyak dua kali serta mengungguli temasya Komanwel.

"Saya hanyalah seorang budak kampung, anak kepada seorang petani di pedalaman India.

"Setiap kali berlatih ia adalah peluang untuk mengatasi apa yang terbaik yang pernah anda alami.

"Ada pepatah mengatakan bahawa pelempar tidak mempunyai garis penamat. Perkara terbaik ialah kita mempunyai lembing kita. Kami sentiasa boleh mendorong diri sendiri.

"Saya mungkin memenangi banyak pingat tetapi motivasinya adalah untuk melontar lebih jauh dan jauh lagi.

"Saya lapar untuk melakukan lebih," kata Chopra selepas memenangi emas di Kejohanan Dunia pada 2023.

Rekod Chopra ialah 89.94m, dibuat pada 2022, tetapi dia kini menyasarkan 90m.

Dia perlu memerlukannya jika dia ingin mengekalkan pingat emas Olimpiknya kerana pesaingnya, Max Dehning dari Jerman melakukan rejaman 90.20m pada bulan Februari.

Manakala rekod dunia ialah 98.48m yang dipegang legenda dari Republik Czech, Jan Zelezny pada tahun 1996.

Banyak yang diharapkan daripada Chopra apabila dia pulang ke tanah air.

Selepas meraih emas pada tahun 2021, dia dibanjiri dengan tawaran dan tajaan bernilai jutaan dolar dan lonjakan iklan TV yang ingin mengambil keuntungan dari kejayaannya itu.

Satu-satunya pingat India sebelum ini dalam trek dan padang di Olimpik adalah sebelum kemerdekaan - dua perak dimenangi oleh Norman Pritchard dalam 200m dan 200m lari berpagar di Paris pada 1900.

Namun, mereka yang mengenalinya tetap mengatakan bahawa anak kampung itu tetap dengan sikapnya yang sering merendah diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:31 PM