Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memantau perkembangan industri pembinaan, khususnya membabitkan isu kenaikan harga bahan binaan dan bahan mentah serta kesannya ke atas kontraktor.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penelitian perlu dilakukan daripada pelbagai sudut sebelum pertimbangan atau pengenalan dasar dibuat kerajaan.

"Penelitian perlu dilakukan daripada pelbagai sudut antaranya indeks kos bahan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan merekodkan sebarang peningkatan dan penurunan kos binaan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkaitan inisiatif kerajaan dalam membantu kontraktor ekoran kenaikan harga jentera dan bahan disebabkan kenaikan harga barang, khasnya kepada kontraktor yang diberikan tawaran kerja sebelum kenaikan harga diesel.

Nanta berkata, terdapat kemungkinan industri pembinaan terkena tempias susulan langkah pengapungan diesel namun masih terlalu awal untuk menganggarkan peratusan kenaikan kos dalam industri berkenaan.

Menjawab soalan asal Roslan berhubung sama ada kementerian bercadang menaikkan had nilai kerja kontraktor G1 daripada RM200,000 kepada RM250,000 atau RM300,000 dan G2 kepada RM600,000 memandangkan harga barang yang semakin meningkat, Nanta berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.-Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:03 PM