ZAMRI. FOTO BERNAMA
ZAMRI. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang mendapatkan senarai nama pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya merasa kesal kerana perbuatan sedemikian masih berlaku walaupun banyak peringatan dan amaran dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Bagi membantu siasatan JIPS dalam perkara ini, saya sudah menghubungi Ketua Polis Johor (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay) bagi mendapatkan senarai nama mereka yang terbabit dan akan diserahkan dalam masa terdekat.

"Selain itu, JIPS juga akan meminta pihak Polis Johor berkongsi maklumat yang ada pada mereka kepada kami berhubung pembabitan pegawai dan anggota berkenaan dengan Geng Nicky," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zamri berkata, semua maklumat itu amat penting bagi membantu siasatan JIPS berhubung perkara itu.

"Fokus siasatan JIPS akan menjurus kepada mengenal pasti tindakan terhadap pegawai dan anggota terbabit yang menyalahi tata kelakuan dan displin mereka sebagai pegawai dan anggota polis dengan pembabitan mereka dalam sindiket terbabit.

"JIPS juga akan menyiasat sebarang salah guna kuasa oleh mereka yang terbabit dengan melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas Geng Nicky kerana menerima habuan tertentu," katanya.

Katanya, tindakan keras termasuk hukuman buang kerja akan diambil ke atas pegawai dan anggota yang disahkan bersekongkol dengan Geng Nicky.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Abdul Hamid mendedahkan terdapat pegawai dan anggotanya yang membocorkan maklumat dalam usaha polis memburu Nicky.

Abdul Hamid dipetik berkata, siasatan dilakukan mendapati berlaku kebocoran maklumat apabila Nicky, 33, berjaya memindahkan sejumlah besar wang yang dibawa keluar dari premis di SetiaWalk, Puchong, Selangor pada 20 April lalu.

Menurutnya, terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.

Berita berkaitan

PGA waspada Datuk Seri Nicky, Sajat menyamar

Interpol bantu PDRM kesan Nicky Liow

Sempadan negara diperketat kemungkinan Nicky lari ke luar negara

Nicky Liow lari bawa lapan beg dipenuhi wang tunai

Polis bocor maklumat, ambil duit perbuatan jijik - KPN [METROTV]

2 datuk seri, 6 datuk antara 118 ahli Geng Nicky ditahan

Tiada kelibat 'Datuk Seri' di Pulau Pinang

Kes Datuk Seri Nicky: Polis cari bekas DPP

Datuk Seri Nicky Liow belum ditahan - Ayob Khan

Polis Johor buru Datuk Seri [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 5:30 PM