Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media selepas membuat pemantauan sekatan jalan raya (SJR) di  Seelong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media selepas membuat pemantauan sekatan jalan raya (SJR) di Seelong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor mendapat beberapa petunjuk baharu berkaitan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun beliau tidak akan mendedahkan petunjuk itu atau sebarang kenyataan lanjut kerana siasatan masih berjalan.

"Suspek yang ditangkap masih disoal siasat. Banyak petunjuk baharu yang timbul daripada siasatan yang dijalankan itu.

"Kita tunggu dahulu, jika ada sebarang perkembangan nanti, saya akan maklumkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Seelong di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, media melaporkan seorang pegawai penyiasat kanan polis yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Manakala pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, adalah pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ayob Khan menegaskan, suspek yang dipercayai terbabit dengan Geng Nicky yang dibebaskan sebelum ini bukan bermakna mereka dilepaskan dari tuduhan itu.

Sebaliknya katanya, suspek itu hanya dilepaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan.

"Ada orang tanya, kenapa suspek yang ditangkap sebelum ini dibebaskan. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis bukan dibebaskan sebebas-bebasnya.

"Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kemudian akan ditentukan untuk dituduh di mahkamah atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:54 PM