Keadaan tempat pembuatan mi yang didakwa kotor. FOTO  Weibo
Keadaan tempat pembuatan mi yang didakwa kotor. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Rangkaian pasar raya China membayar pampasan AS$1.2 juta (RM5.65 juta) kepada pelanggan berikutan dakwaan produk hidangan mi mereka tidak selamat dan kotor.

Keputusan Pang Dong Lai meraih pujian kerana menunjukkan komitmen terhadap hak pengguna.

Berasal dari wilayah pedalaman utara Henan, rangkaian pasar raya Pang Dong Lai itu terkenal dengan reputasi nasional dalam layanan positif terhadap pekerja dan pelanggannya.

Bagaimanapun, reputasi mereka berubah mendadak pada petang 25 Jun lalu apabila seorang pelanggan memuat naik perkongsian di Douyin, mengenai persekitaran pemprosesan makanan untuk doh gulung untuk membuat mi di sebuah cawangan Pang Dong Lai di Xinxiang, Henan tidak bersih.

Snek tradisional yang terkenal dengan teksturnya yang kenyal dan lembut, doh canai dibuat dengan menapai doh untuk menghasilkan mi yang biasanya dihidangkan bersama kicap, cuka dan cili.

Menurut video Douyin, bahan mentah untuk membuat doh disimpan dalam tong besi berkarat dan baldi plastik kotor diletakkan secara sembarangan di atas lantai.

Doh itu juga disimpan dalam bekas plastik tidak bertutup yang dikelilingi botol minuman dan kadbod dengan kakitangan memakai pakaian yang tidak disanitasi.

Ketika kontroversi, Pang Dong Lai mengeluarkan hasil siasatan mengenai perkara itu di akaun WeChat rasmi mereka pada 27 Jun lalu.

Mereka mendedahkan, peniaga itu adalah rakan usaha sama yang melanggar kontrak kerjasama dengan menukar lokasi pemprosesan secara rahsia tanpa kelulusan.

Syarikat itu juga memecat kakitangan terbabit dan membatalkan bonus mereka.

Malah, syarikat itu juga menawarkan pelanggan yang melaporkan isu keselamatan makanan ganjaran tunai AS$14,000 (RM65,964.50).

Setiap pelanggan yang membeli barang makanan itu diberi 1,000 yuan (RM648) yang berjumlah 8.8 juta yuan (RM5.7 juta).

"Saya tidak mahu mengecewakan pelanggan kami. Apabila pelanggan kecewa, rasanya seperti pisau memotong jantung saya," kata presiden dan pengasas Pang Dong Lai, Yu Donglai.

Itu bukan kali pertama Pang Dong Lai menjadi tajuk utama dalam menjaga hak pekerja dan pelanggan.

Pada Mac lalu, Yu mengumumkan pengenalan cuti tidak berpuas hati atau sebenarnya, cuti jika mereka berasa sedih.

Sebelum ini, Pang Dong Lai turut menarik perhatian seluruh negara dengan mewujudkan Grievance Award yang memberi pampasan kepada pekerja antara 5,000 hingga 8,000 yuan (RM3,239.99 hingga RM5,183.98) kerana menanggung aduan dan layanan yang tidak munasabah daripada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 1:46 PM