OPERASI bersepadu dijalankan antara Kilometer 266 hingga 272 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara.
OPERASI bersepadu dijalankan antara Kilometer 266 hingga 272 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara.
Mohd Amin Jalil


MAJLIS Bandaraya Seremban (MBS) mengeluarkan 46 kompaun kepada pemilik papan atas kesalahan mendirikan struktur tanpa kelulusan.

Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya berkata, kompaun itu dikeluarkan dalam operasi bersepadu antara Kilometer 266 hingga 272 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara.

Katanya, operasi 30 anggota dan kakitangan pelbagai agensi MBS turut membabitkan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia.

"Sebanyak 24 kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan mendirikan struktur tanpa kelulusan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Manakala 22 kompaun pula dikeluarkan atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Iklan 1980," katanya di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Midyawan berkata, kesalahan mendirikan struktur tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan pada setiap hari kesalahan.

Pemilik tanah juga diingatkan supaya berhati-hati untuk menyewakan tanah kepada syarikat pengiklan agar tidak melanggar syarat nyata tanah, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baharu negeri, Teo Kok Seong menegaskan bahawa pembinaan papan iklan secara haram ini di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan menyebabkan pihak berkuasa tempatan kehilangan hasil sekurang-kurangnya RM500,000 setiap tahun selain membabitkan soal keselamatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:05 PM