GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Faris Fuad


KERAJAAN menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil alih operasi 45 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula kelmarin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan hari ini berkata, kamera itu digunanakan bagi mengesan kesalahan kenderaan melebihi had laju dan pemandu tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Katanya, senarai lokasi kamera bagi mengesan kesalahan melebihi had laju 110 kilometer sejam (km/jam) termasuk di KM 256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (Arah Kuala Terengganu), KM 18 Lebuhraya Guthrie (Arah Utara), KM 28.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) (Arah Utara) dan KM 96.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (Arah Selatan).

"Bagi 90km/jam di KM 301.6 Lebuhraya PLUS (Arah Utara) dan KM 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, manakala bagi 80km/jam dan 70km/jam masing-masing di KM 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan KM 1.6 Lebuh Sentosa, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

"Lokasi kamera kesalahan lampu isyarat pula termasuk Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, KM 11 Jalan Setiawan-Ipoh dan KM 36 Jalan Alor Setar-Butterworth.

"Pada masa sama, kita sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memasang kamera itu di dua lokasi lagi masing-masing bagi dua kesalahan berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, lokasi operasi AWAS akan disertakan dengan pemasangan tiga papan tanda pemberitahuan zon operasi kamera.

"Ia antara jarak satu, dua dan tiga km sebelum kamera itu ditempatkan bagi kesalahan melebihi had laju.

"Bagi kes langgar lampu isyarat merah, tiga papan tanda akan dipasang dengan jarak 50 meter hingga satu km sebelum kamera berkenaan.

"Semua spesifikasi papan tanda itu dipasang mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Isyarat Lalu Lintas (Saiz, Warna dan Jenis) 1959," katanya.

Pada masa sama, katanya, orang kena saman (OKS) diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar denda RM300 bagi kesalahan AWAS bermula kelmarin.

"Mata demerit juga akan ditolak, bagi kesalahan lampu isyarat, empat dan enam mata masing-masing bagi kenderaan motor dan bas.

"Kesalahan memandu melebihi had laju melebihi satu km/jam ke 25km/jam membabitkan penolakan dua dan empat mata masing-masing bagi kenderaan motor dan bas, 25km/jam ke 40km/jam (tiga dan lima mata) dan melebihi 40km/jam (empat dan enam mata)," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:55 PM