ANTARA motosikal dan penunggang yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Hentian Rehat Seremban, arah selatan, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus). FOTO Ihsan PDRM
ANTARA motosikal dan penunggang yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Hentian Rehat Seremban, arah selatan, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus). FOTO Ihsan PDRM
Ahmad Hasbi

Nilai: Keseronokan 15 lelaki yang sedang 'tunjuk berani' dengan ekzos motosikal bising masing-masing pada malam minggu di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di daerah ini terbantut apabila mereka ditahan polis, semalam.

Hasil pemeriksaan terhadap penunggang berusia 18 hingga 34 tahun itu mendapati sebahagian daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, meskipun sudah banyak operasi dijalankan di kawasan yang menjadi tumpuan mat rempit itu, namun golongan berkenaan dilihat tidak serik.

"Operasi Cegah Samseng Jalanan dijalankan Peronda Lebuhraya (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Hentian Rehat Seremban arah selatan Lebuhraya Plus jam 11 malam tadi.

"Dalam operasi ini, polis menahan 15 motosikal dan hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan penunggang tiada lesen memandu dan mengubahsuai ekzos motosikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua penunggang dan motosikal terbabit dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

"Sebanyak 35 saman dikeluarkan terhadap penunggang atas pelbagai kesalahan.

"Kesemua yang ditahan dibebaskan selepas keterangan diambil manakala motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 3:45 PM