GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan negeri memandang serius syarikat tertentu yang memasang papan iklan (billboard) di sepanjang lebuh raya di negeri ini tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan sehingga boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah menampal 26 notis pada papan tanda berkenaan yang dikesan dipasang tanpa lesen, bulan ini.

Katanya, tindakan itu perlu diambil kerana bimbang papan tanda haram dan tidak mengikut spesifikasi boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya terutama jika struktur binaannya tidak kukuh.

"Saya dimaklumkan, pihak MBS sudah menampal 26 notis dan akan menghubungi pengiklan terbabit untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, mana-mana papan iklan yang dikesan berada dalam keadaan tidak selamat akan dirobohkan serta merta," katanya tadi.

Beliau berkata, pembinaan papan iklan secara haram akan menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kehilangan hasil yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit setiap tahun.

"PBT akan mengalami kerugian hasil di bahagian pelesenan, cukai tafsiran dan permit apabila pengusaha membina papan iklan luar secara haram," katanya.

Aminuddin meminta pemilik iklan dan mereka yang melantik pihak ketiga bagi tujuan berkenaan perlu bertanggungjawab dengan memastikan iklan didirikan itu sudah mendapat kelulusan PBT.

"Tolong jangan lepas tangan. Saya ingatkan supaya dapat beri kerjasama bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Kita tidak boleh jangka sesuatu bencana berlaku terhadap papan iklan ini seperti juga banjir baru-baru ini.

"Pihak yang berkenaan perlu bertanggungjawab dan pastikan semua peraturan serta spesifikasi ditetapkan dipatuhi sebelum papan iklan didirikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:42 PM