RAIHAN Syafina. FOTO Ihsan Keluarga
RAIHAN Syafina. FOTO Ihsan Keluarga
Roselan Ab Malek


SEORANG bapa di Taman Cempaka, Jerantut, merayu anak perempuannya yang menghilangkan diri sejak Disember 2017, pulang ke pangkuan keluarga.

Mohd Robie Majid, 46, berkata, Raihan Syafina, 19, tiba-tiba menghilangkan diri selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun berkenaan.

Ketika kejadian itu katanya, anak kedua daripada lima beradik itu pulang ke rumah dari sekolah sebelum keluar tanpa pengetahuan keluarga.

“Dia keluar rumah tanpa memberitahu kami dan saya sekeluarga keluar mencarinya selepas itu, namun tidak jumpa.

“Kami menghubungi telefon bimbitnya tetapi tiada jawapan. Kami kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Robie berkata, anak perempuannya dikatakan keluar bersama seorang rakan perempuannya yang turut menghilangkan diri hingga kini.

“Kami sekeluarga amat bimbangkan keselamatan dia. Kami terlalu rindu dan harap dia pulang dalam keadaan selamat.

“Sebelum tamat SPM, dia ada beritahu kami untuk pergi bekerja di luar Jerantut dan kami tidak menghalangnya tanpa menyangka dia pergi begitu sahaja,” katanya.

Dia dan isterinya, Zelawati Zulkarnain Bachan, 38, sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan anaknya namun gagal.

Katanya, ia termasuk meminta bantuan saudara dan rakan untuk menjejakinya di Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Raihan boleh menghubunginya di talian 013-9050072 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:26 PM