Ibu bapa Nor Azimah bersama cucu mereka (anak Nor Azimah)  Nur Aufa Mohd Hariz. - Foto SHAZREEN ZAMZURI
Ibu bapa Nor Azimah bersama cucu mereka (anak Nor Azimah) Nur Aufa Mohd Hariz. - Foto SHAZREEN ZAMZURI
BERNAMA

Shah Alam: Kehilangan Nor Azimah Ibrahim di Madinah, Arab Saudi, pada Disember 2015 dikhuatiri berpunca daripada masalah kemurungan dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Perkara itu diceritakan bapanya, Ibrahim Abdul Rahman, 55, yang menyatakan anaknya pernah didiagnos menghidap penyakit berkenaan sejak bercerai sekitar 2014.

Tambahnya, pemergian mereka sekeluarga menunaikan umrah ketika itu antara usaha supaya Nor Azimah dapat kembali 'bertenang' selepas pelbagai usaha lain termasuk perubatan psikologi kurang menampakkan kesan.

Ibrahim berkata disebabkan itu, beliau dan keluarga menerima kepulangan anaknya semalam seperti biasa tanpa bertanya lebih lanjut mengenai kehilangannya, malah Nor Azimah sendiri masih belum mahu memberitahu apa yang terjadi kepadanya sepanjang tempoh itu.

"Ketika menunaikan umrah, suatu pagi kami sekeluarga ke Masjid Nabawi untuk solat subuh tapi Nor Azimah tidak mahu ikut pulang ke hotel...kami biarkan saja, mungkin dia mahu pulang kemudian, namun kami dikhabarkan dia pengsan ketika dalam perjalanan pulang dari masjid ke hotel.

“Memang setiap jemaah yang sakit atau pengsan akan dihantar terus ke hospital tetapi apabila kami ke hospital, saya dimaklumkan Nor Azimah yang ditahan di wad kecemasan sudah keluar dan sejak itu, kami tidak lagi berjumpa dengannya," katanya di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, menghilangkan diri bukan niat sebenar wanita berusia 32 tahun itu namun ia mungkin disebabkan ketidakseimbangan pertimbangan akibat penyakit dihidapinya.

Ketika ditanya sama ada Nor Azimah berkahwin dengan rakyat Arab Saudi, Ibrahim hanya menggelengkan kepala dan menyatakan ia hanya khabar angin.

Ibu Nor Azimah, Zamhani Zakaria, 53, pula berkata anaknya itu kelihatan terkejut ketika melihat dia dan Ibrahim menunggu kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

"Dia (Nor Azimah) tanya saya kenapa saya boleh ada sebab tak sangka saya tunggu dia. Masa itu dia macam biasa sahaja, mukanya biasa cuma masa Nor Azimah nampak anak perempuannya berumur empat tahun, dia agak terkejut.

“Hari ini kami semua layan dia macam biasa, tidak mahu tanya sebab tidak mahu dia beremosi. Dia keluar dari bilik, makan macam biasa, saya minta dia sidai kain, dia buat, semua macam biasa saja," katanya.

Nor Azimah, dilaporkan hilang di Madinah, Arab Saudi pada 19 Disember 2015 ketika mengerjakan umrah bersama bapa dan ibunya namun kembali ke Malaysia semalam, kira-kira 12 tengah hari dengan pesawat MAS dari Jeddah.

Kepulangan Nor Azimah disahkan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohamad Ali Selamat, yang berkata, pejabat konsul dihubungi pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan Nor Azimah ditemui ditemui di Pusat Tahanan Imigresen Makkah pada 13 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:43 PM