MAZLINA menunjukkan gambar anaknya, Joe Farizal yang menghilangkan diri sejak setahun lalu.
MAZLINA menunjukkan gambar anaknya, Joe Farizal yang menghilangkan diri sejak setahun lalu.

Johor Bahru: “Pulanglah, mak rindu,” demikian kata Mazlina Othman, 52, yang berharap anak lelakinya Mohd Farizal Che’ Joha, 26, menghubunginya dan pulang ke pangkuan keluarga selepas menghilangkan diri sejak April tahun lalu.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik hasil perkongsian hidup dengan suami pertamanya tidak dapat dikesan selepas keluar dari rumah ibu mentuanya di Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, Mohd Farizal kali terakhir dilihat memakai baju berkolar bulat berwarna perang, berseluar pendek dan berselipar.

“Dia meninggalkan seorang isteri berusia 26 tahun serta anak tunggal lelaki berusia enam tahun.

“Punca dia keluar rumah memang tidak diketahui, cuma sebelum menghilangkan diri, Mohd Farizal bersama isteri dan anaknya duduk sementara selama sebulan di rumah saya.

“Sebelum itu, dia diberhentikan kerja dan tertekan kerana mengalami masalah kewangan akibat bekas majikannya gagal membayar gaji dan royalti hasil bekerja sebagai produser, ketua radio web dan penyanyi,” katanya di pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya yang turut dikenali sebagai Joe Farizal melalui telefon kira-kira seminggu sebelum kehilangannya.

“Saya bersama anak perempuan berusia 22 tahun mahu menjenguknya dan menyuruhnya datang menemui kami di bilik hotel di Kuala Lumpur, namun dia enggan dan hanya mengajak adik perempuannya keluar minum serta sempat meminta adiknya itu meminta maaf bagi pihaknya kepada semua orang termasuk kenalan artisnya,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga termasuk keluarga mentua anaknya masih berusaha menjejakinya termasuk pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen, namun gagal mengesan Mohd Farizal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:15 AM