ANGGOTA bomba memeriksa  premis butik pengantin yang musnah terbakar di Sura Jeti,  semalam.
ANGGOTA bomba memeriksa premis butik pengantin yang musnah terbakar di Sura Jeti, semalam.
Rosli Ilham

Dungun: “Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku, minta maaf buat semua pengantin dan saya berjanji akan usahakan untuk menyiapkan semula tempahan mereka dengan segala upaya,” kata Nurzziela Abdul Aziz, 30, selepas butik pengantin miliknya di Sura Jeti di sini, musnah dalam kebakaran petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, bangunan satu tingkat yang penuh dengan pakaian dan kelengkapan pengantin musnah.

Nurzziela berkata, ketika kejadian dia tidak membuka perniagaannya itu kerana berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana melawat suaminya yang putus jari tangan.

“Malam tadi (kelmarin) suami mendapat kemalangan akibat putus jari tersepit pada mesin basikalnya dan hari ini (semalam) saya ke hospital melawatnya.

“Saya terima panggilan kira-kira jam 2.40 petang dari rakan sebelah premis yang memaklumkan kedai saya terbakar,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nurzziela, dia kemudiannya bergegas pulang dan mendapati keseluruhan premisnya sudah musnah serta gagal menyelamatkan sebarang harta benda.

“Saya sangat sedih terkenangkan 20 pasang baju pengantin serta pelamin dan barangan lain yang ditempah pelanggan sudah siap saya buat untuk majlis perkahwinan mereka minggu depan.

“Saya tidak kisah sangat dengan kerugian barangan pengantin dianggarkan RM40,000 itu tetapi apa yang sedih semua tempahan itu sudah siap saya lakukan demi memastikan pelanggan saya gembira pada majlis perkahwinan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia sudah menghubungi semua pelanggannya untuk memaklumkan kejadian yang berlaku itu.

“Kesemua pelanggan bersimpati dengan apa yang berlaku dan saya sudah berjanji kepada mereka akan cuba menyiapkan tempahan mereka dengan bantuan rakan tukang jahit yang lain,” katanya.

Nurzziela berkata, dia ibaratkan kejadian yang menimpanya itu umpama sudah jatuh ditimpa tangga kerana kejadian yang turut menimpa suaminya tetapi tetap reda.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Saifuddin Muhammad berkata, sepasukan 14 anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 10:24 AM