KUMAR, gambar fail. FOTO NSTP
KUMAR, gambar fail. FOTO NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seramai 35 individu termasuk remaja dan wanita ditahan polis dalam Operasi Khas Mabuk yang dijalankan di seluruh negeri ini, pada semalam dan hari ini.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, mereka yang ditahan membabitkan warga tempatan terdiri daripada 33 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 16 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan 10 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Seramai 32 individu ditahan mengikut Seksyen 45A(1) APJ 1987 atas kesalahan memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Manakala, tiga lelaki ditahan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, dalam operasi yang sama, seramai 1,417 individu dan 1,302 kenderaan diperiksa, manakala 481 saman Pol 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Operasi ini menjadi fokus utama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor dalam mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap 'kaki mabuk' yang masih tidak serik dan terus tegar melanggar peraturan dan undang-undang lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 8:40 PM