Sharifah Nuruladawiah (kanan) menunjukkan laporan polis. FOTO Ihsan Sharifah Nuruladawiah
Sharifah Nuruladawiah (kanan) menunjukkan laporan polis. FOTO Ihsan Sharifah Nuruladawiah
Khairul Najib Asarulah Khan

BAKAL pengantin kerugian hampir RM8,000 apabila wang pendahuluan pakej perkahwinan ‘hangus’ selepas syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu gulung tikar dan pemiliknya menghilangkan diri.

Sharifah Nuruladawiah Syed Omar, 23, berkata, keadaan itu menyebabkan dia buntu memikirkan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung 1 Disember ini di Jelebu.

“Apa yang dibimbangkan sudah terjadi. Sebelum ini saya hanya baca mengenai bakal pengantin ditipu syarikat menawarkan pakej perkahwinan, kali ini saya sendiri mengalaminya,” katanya kepada wartawan NSTP.

Katanya, pada 16 Januari lalu dia bersama keluarga ke cawangan syarikat berkenaan yang terletak di Seremban 2 sebelum membuat bayaran tempahan RM1,000.

“Saya memilih pakej yang dilengkapi pelamin, jurugambar, sistem audio dan penyediaan makanan untuk 1,000 orang yang berjumlah RM16,500.

“Pembayaran kedua, RM2,300 dilakukan pada 27 Januari lalu dan pada mulanya saya yakin dengan syarikat itu kerana mereka turut melantik duta pasangan selebriti popular tanah air untuk mempromosikan perkhidmatan.

“Namun tak sangka pelbagai komen negatif saya peroleh melalui mereka yang pernah mengambil perkhidmatan syarikat terbabit menyebabkan saya mula ragu,” katanya.

Menurutnya, dia mula bimbang apabila ramai pelanggan menyatakan makanan tempahan lambat sampai, nasi basi serta tidak menepati janji seperti ketika awal perbincangan.

“Saya ingin membatalkan urusan dengan mereka namun wakil syarikat memaklumkan jika dibatalkan duit saya tidak akan dipulangkan semula.

“Mereka memberi jaminan jika masalah berlaku ketika majlis, mereka akan memulangkan semua wang saya,” katanya.

Sharifah Nuruladawiah berkata, atas jaminan itu. dia meneruskan urusan dengan melakukan pembayaran seterusnya RM4,680 pada 13 Oktober lalu.

“Namun semalam saya dikejutkan apabila ada rakan memaklumkan cawangan syarikat itu di Negeri Sembilan sudah ditutup.

“Saya segera menghubungi wakil syarikat dan dia mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan semua barangan dan kelengkapan pakej perkahwinan yang ditawarkan untuk pelanggan sudah diambil pemiliknya.

“Dia meminta saya membuat laporan polis kerana dia tidak boleh membantu serta memberitahu majikannya melarikan diri tanpa membayar gaji pekerja bulan lalu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi, Johor semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 2:25 PM