MOHAMAD Sabu melihat hasil ikan talapia yang diternaknya. FOTO Facebook rasmi Mohamad Sabu
MOHAMAD Sabu melihat hasil ikan talapia yang diternaknya. FOTO Facebook rasmi Mohamad Sabu
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan rasa teruja apabila ikan talapia yang diternaknya, kini membuahkan hasil.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Mohamad berkata, hari ini genap dua bulan beliau menternak ikan talapia di dalam kolam yang terletak di halaman rumahnya.

Katanya, penternakan spesis itu turut mendapat tunjuk ajar daripada Aquaculture Resource Centre.

"Saya cukup teruja kerana ini adalah tuaian kali pertama selepas dua bulan menternak ikan talapia.

"Alhamdulillah selepas dibuat pengkelasan, kami mendapat 40 kilogram ikan talapia yang cukup besar dan boleh dipasarkan dengan berat purata seekor mencecah 300 gram," katanya dalam hantaran itu.

Berikutan itu, Mohamad berharap orang ramai dapat mengikut jejak langkahnya untuk menternak ikan kerana ia menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Saya menyarankan supaya lebih ramai yang menceburkan diri dalam bidang akuakultur ini kerana ia menjanjikan pulangan yang cukup berbaloi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:45 PM