NURASIDAH menunjukkan baju pengantin di butiknya yang boleh disewa dengan bayaran RM110 bersama aksesori. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
NURASIDAH menunjukkan baju pengantin di butiknya yang boleh disewa dengan bayaran RM110 bersama aksesori. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Hanya perlu sediakan RM110 untuk sewa baju pengantin bersama aksesori. Itu pakej 'amal jariah' ditawarkan pemilik butik pengantin di Taman Serai Wangi, Padang Serai, dekat sini, bagi mengurangkan beban kepada pelanggannya yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

Jika mengikut harga biasa, pelanggan perlu mengeluarkan kos antara RM800 hingga RM2,000 mengikut set baju pengantin, kini pemiliknya hanya mengenakan bayaran untuk dobi dan ubahsuai baju sahaja.

Untuk dobi, bayaran RM60 dikenakan manakala jika pelanggan mahu baju diubahsuai pula, mereka perlu membayar RM50.

Pemilik butik, Nursidah Sengaji Sawal, 50, berkata, dia tergerak hati untuk membantu pasangan yang mahu mendapatkan baju pengantin di premisnya dengan harga ditawarkan kerana menyedari kesukaran hidup orang ramai ketika ini.

"Jika diikutkan, saya sendiri pun susah kerana tidak dapat menjalankan perniagaan sepanjang pandemik ini, namun saya fikir ada lagi orang yang lebih susah dan perlu dibantu.

"Jadi, saya mengambil peluang untuk beramal, sekali gus dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan kepada pelanggan saya," katanya yang sudah 14 tahun menjalankan perniagaan butik pengantin.

Menurutnya, setakat ini lima pelanggan yang mahu mendapatkan baju pengantin di butiknya dan paling menyentuh perasaan apabila ada suami isteri datang dengan hanya bermotosikal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke premisnya, tiga hari lalu.

Katanya, mereka diberhentikan kerja di kilang dan kini sudah mendapat kerja baru di kedai makan dan kontrak.

"Saya sedih melihat suami isteri terbabit yang membawa pulang baju pengantin yang terpaksa dilipat kecil dengan hanya bermotosikal kerana tidak mempunyai kereta.

"Promosi ini ditawarkan sehingga Oktober depan dan ia hanya untuk set baju pengantin serta aksesori tanpa pelamin dan solekan.

"Saya pernah alami kesusahan hidup selepas suami meninggal dunia ketika tidur akibat darah tinggi pada 2006 dan ketika itu anak bongsu hanya berusia empat bulan," kata ibu tunggal kepada dua anak berusia 14 dan 18 tahun itu.

Menurutnya, dia memahami kesukaran membesarkan dua anak sendiri dan bernasib baik kerana jiran serta rakan memberi sokongan moral.

Katanya, semua baju pengantin di butik itu dijahit sendiri dan duit pencen suami sebagai anggota polis digunakan untuk bangkit meneruskan kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:43 PM